Make your own free website on Tripod.com

Laman UtamaSurau Ar-Rahman | Sekolah KAFA | Tabung Derma  | hubungi kami | 


KERTAS KERJA CADANGAN PEMBESARAN SURAU AR-RAHMAN, BUKIT RAHMAN PUTRA DAN DILENGKAPI DENGAN KEMUDAHAN BILIK DARJAH UNTUK PENGAJIAN KELAS AGAMA (KAFA INTEGRASI)


Disediakan oleh :
Jawatankuasa Pentadbiran Surau Ar-Rahman
Bukit Rahman Putra
dan
Persatuan Penduduk Islam Jalan Tujuh
Bukit Rahman Putra


1. OBJEKTIF

Tujuan kertas kerja ini adalah untuk memaklumkan mengenai usaha untuk membina semula Surau Ar-Rahman, Bukit Rahman Putra dan dilengkapi dengan kemudahan bilik darjah untuk mengadakan pengajian kelas agama (KAFA Integrasi).

Kertas kerja ini menjelaskan betapa pentingnya perlaksanaan projek ini dan seterusnya sokongan daripada semua pihak berhubung dengan usaha pengumpulan dana untuk mencapai tujuan tersebut.

2. LATARBELAKANG

Sejarah Islam menunjukkan bahawa masjid/surau memainkan peranan penting sebagai pusat ibadat, pembangunan ilmu, pembinaan keperibadian dan peradaban Islam secara menyeluruh. Kebanyakan pembinaan masjid atau surau pada masa kini adalah disusunatur berhampiran dengan bangunan-bangunan pentadbiran, pusat-pusat perniagaan dan kawasan-kawasan perumahan di sekitarnya supaya ia menjadi focal point atau arah tuju.

Objektif pembinaan Surau Ar-Rahman adalah untuk kesatuan umat Islam, tempat penjalinan silaturrahim dan sumber rujukan kepada masyarakat setempat. Apabila tertegaknya surau ini, ia menunjukkan bahawa telah ada suatu kumpulan masyarakat Islam yang bersatu, berinteraktif dan saling bekerjasama.

Dengan keperluan semasa di kawasan perumahan Bukit Rahman Putra, fungsi atau peranan surau Ar-Rahman perlu dikembangkan, tidak semata-mata tertumpu untuk kegiatan ibadat khusus seperti untuk bersolat berjemaah. Surau Ar-Rahman perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan menjadi nadi yang mencorak kehidupan harian masyarakat Islam di sini.

3. SURAU AR-RAHMAN

Surau Ar-Rahman adalah satu-satunya surau yang terletak di kawasan perumahan Bukit Rahman Putra Jalan Tujuh. Surau yang di bina pada tahun 1999, berukuran 30'x30' dan terletak di tapak seluas 0.25 ekar di Jalan BRP7/2A Bukit Rahman Putra. Surau ini boleh mengisi sekitar 120 orang jemaah.

Selain menjadi tempat solat berjemaah; majlis-majlis kuliah, pembelajaran al-Quran, qiamullalail, kenduri dan ibadat korban telah diadakan di sini.

4. SEKOLAH KAFA INTEGRASI BUKIT RAHMAN PUTRA

Sekolah KAFA Integrasi Bukit Rahman Putra telah beroperasi mulai tahun 2001. Ia menjalankan kelas-kelas pengajian agama kepada murid-murid dari darjah 1 hingga darjah 6. Sekolah ini telah didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mengikut kurikulum yang disediakan oleh JAIS. Sekolah ini bernaung dibawah Persatuan Penduduk Islam Jalan Tujuh dan Jemaah Pentadbir dilantik daripada kalangan ahli Persatuan Penduduk Islam Jalan Tujuh.

Pada masa ini, terdapat seramai 400 murid mengikuti pelajaran di sekolah tersebut. Kesemua murid-murid adalah anak-anak penduduk yang tinggal di Bukit Rahman Putra dan kawasan sekitarnya, iaitu dari Bandar Baru Sg Buloh, Kampung Matang Pagar dan Saujana Akasia.

Pada tahun 2001 dan 2002, sekolah KAFA Integrasi telah menggunakan sebahagian dari bangunan Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra. Tetapi apabila bilangan murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra bertambah dan sekolah tersebut bertukar menjadi sekolah 2 sesi (pagi dan petang), Sekolah KAFA Integrasi terpaksa berpindah ke lokasi baru. Pada masa ini Sekolah KAFA Integrasi menyewa satu tingkat bangunan Tadika Seri Murni dengan kadar sewa RM3600 sebulan.

5. CADANGAN PEMBESARAN SURAU AR-RAHMAN

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang disebutkan di atas, cadangan pembesaran surau Ar-Rahman ini adalah di atas dua tujuan utama iaitu:
a) Untuk membolehkan lebih ramai jemaah dapat bersembahyang terutamanya di bulan Ramadhan.
b) Menempatkan Sekolah KAFA Integrasi di sebuah bangunan yang tetap. Sehubungan dengan itu, pihak AJK dapat membuat perancangan strategi jangka panjang agar murid-murid dapat menimba ilmu agama dengan lebih teratur.

Setelah siap kelak bangunan baru ini akan mempunyai surau yang dilengkapi dengan bilik untuk tetamu, tempat wudhu' lelaki dan wanita; serta sekolah yang mempunyai pejabat dan bilik guru, bilik darjah, ruangan perhimpunan, stor, kantin dan sebuah kedai.

Surau yang lebih besar ini akan dapat memuatkan lebih 250 jemaah.

6. ANGGARAN KOS DAN JANGKAMASA PEMBINAAN

Adalah dianggarkan pembinaan bangunan baru yang mempunyai ruang built-up seluas 10,000 kaki persegi ini akan menelan belanja RM 700 ribu. Jumlah ini adalah termasuk bayaran khidmat juruperunding (arkitek, jurutera dsbnya), kos merobohkan bangunan sediada dan juga kos pentadbiran.

Jangkamasa pembinaan adalah dianggarkan selama 6 hingga 8 bulan. Dengan memperuntukkan masa 12 bulan untuk menyediakan modal kewangan yang mencukupi untuk kos pembinaan, surau ini dijangka akan dapat digunakan sebelum bulan Ramadhan tahun 2005. Sekolah KAFA Integrasi pula akan memulakan operasinya di bangunan baru ini pada awal tahun 2006.


7. RUMUSAN

Dari laporan yang dibentangkan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa matlamat utama pembesaran surau Ar-Rahman adalah untuk meluaskan kepelbagaian fungsinya sebagai nadi kehidupan harian masyarakat Islam di sini.

Dengan terbinanya bangunan ini, adalah menjadi harapan penduduk-penduduk Islam di sini, agar kegiatan keagamaan termasuk pendidikan anak-anak akan dapat berfungsi dengan lebih teratur dan berkesan. Hasil daripada usaha ini, menafaatnya akan dapat dikecapi oleh semua pihak, samada untuk kesenangan kehidupan dunia ataupun nikmat kehidupan akhirat, Insya Allah.

Yang di Pertua

………………………………….
Haji Rusham Haji Mohd Samuri
15 Disember 2003

 
 
 
 
     

Dimiliki oleh PERSATUAN PENDUDUK ISLAM BUKIT RAHMAN PUTRA SUNGAI BULOH SELANGOR (No Pendaftaran Pertubuhan : 765)
No 121 Jalan BRP 7/3 Bukit Rahman Putra 47000 Sungai Buloh Selangor Darul Ehsan (Tel : 03 61578488)
Laman Web ini masih dalam pembinaan. Maaf atas sebarang kesulitan
Sila laporkan sebarang masalah melayari laman web ini kepada webmaster di esasudin@time.net.my
Copyright reserved jalantujuh.com.my 2002